Jagung
adalah tanaman yang sesuai di tanaman di negara kita. Kegusaran dan
kebimbangan menanam jagung amat kurang jika dibandingkan dengan menanam
asparagus atau salad.
terdapat dua cara menanam jagung iaitu ditanam dalam pasu dan di atas
batas. Jika memilih menanam di dalam pasu pastikan memilih pasu yang
sederhana besar atau jenis pasu besar agar akar bebas bergerak di
dalamnya.
MEMILIH VARIATI JAGUNG YANG HENDAK DITANAM
Pembaca
boleh mendapatkan benih-benih jagung ini di kedai-kedai pertanian
berhampiran. Boleh bertanya kepada penjual berapa jenis variati yang
dijual, perbezaan dan persamaan serta jenis tanah yang sesuai (hal ini
penting untuk mengetahui adakah benih itu sesuai di tanam di halaman
rumah anda). Pembaca boleh mencuba variati jagung seperti mas madu
(jagung manis), jagung taiwan yang sangat digemari dan permintaan tinggi
di pasaran namun mudah diserang ulat pengorek, jagung korea, jagung
hibrid 338. Pembaca juga boleh menanam jagung thai manis atau jagung
kampung yakni jagung kategori heirloom seperti jagung pulut dan jagung
pandan (harum seperti pandan). Biasanya jagung kampung ini hanya boleh
didapati di kampung atau kedai yang menjual benihnya. Di Sabah boleh
diperolehi di tamu (pasar minggu). Namun untuk beginner beli sahaja
benih jagung yang ada dan tanam. Semua variati jagung sesuai ditanam di
dalam pasu.
PEMILIHAN KAWASAN MENANAM
Cari
kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi 6 jam, hampir dengan
sumber air, elakkan menanam pada jenis tanah liat dan berbatu (namun
jika terpaksa, tanah tersebut harus digaul dengan kompos dan jika boleh
ditambah dengan tanah hitam atau peat-moss atau topsoil. Kompos,
peat-moss dan topsoil akan membantu memperbaiki struktur tanah dengan
pengudaran dan saliran air yang baik serta mengekalkan kelembapan pada
tanah tersebut.
Bagi
menanam di dalam pasu pula, sila letakkan pasu-pasu tersebut pada
kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi 6 jam, jagung memerlukan
cahaya sepenuhnya untuk tumbuhbesaran. Jika tidak jagung anda panjang
tinggi seperti galah dan bila ditiup angin ia akan mudah patah serta
buahnya tidak cukup sifat dan kecil.
PENYEDIAAN TANAH DAN PEMBAJAKAN JIKA PERLU
Bagi
yang mempunyai tanah yang luas di halaman rumah dan mahu menanamnya
terus pada tanah. Anda perlu membuat batas yang sesuai. Batas ideal bagi
jagung ialah 15 hingga 25 cm (secara ladang) atau kurang dari itu pun
boleh ikut kesesuaian anda. Gembur batas tersebut hingga lerai
tanah-tanah tersebut. Bagi tanah jenis merah (tanah liat peroi - tanah
peroi ketika kering dan meleket ketika hujan) anda gembur tanah tersebut
dan campurkan dengan kompos lebih kurang 15 kilo atau mengikut
kesesuaian pada batas. Sekiranya tanah masam (berasid) tabur serbuk
kapur pada batas. Jika tanah jenis tanah liat (keras masa musim kemarau
dan meleket ketika hujan) campurkan dengan peat-moss (harga mahal di
pasaran) atau topsoil (harga boleh tahanlah juga) atau kompos buatan
sendiri/kompos yang dibeli pada tanah tersebut. gaul hingga sebati
antara tanah liat dengan pembaikpulih tanah di atas. Sekiranya terdapat
kilang kelapa sawit, rajin-rajinlah ke kawasan itu, biasanya terdapat
sisa buangan kelapa sawit berwarna hitam seperti kompos. Bahan tersebut
juga boleh digunakan untuk campuran pada tanah liat tersebut. Untuk
supaya tanah lebih baik gaul bersama tinja binatang reput. Maka di sini
tanah penanaman jagung anda mempunyai tinja binatang, kompos, peat-moss
dan topsoil, serta kompos kelapa sawit, ini dikira tanah paling ideal
untuk jagung. Namun jika batas anda hanya ada tinja binatang dan kompos
juga sudah memadai untuk jagung anda dan jika hanya ada kompos sahaja
boleh lah untuk jagung anda, anda masih boleh tuai hasilnya. Tetapi jika
tanah batas penanaman jagung tidak dicampurkan apa-apa, anda akan putih
mata melihat pokok jagung tersebut.
Manakala
bagi menanam di dalam pasu pula pilih pasu bersaiz 18 inci ke atas
untuk sepokok jagung. Anda memerlukan 5 hingga 10 pasu untuk
mendapatkan 5 hingga 10 buah jagung. Pembaca juga boleh menggunakan
apa-apa kontena atau pot yang sesuai untuk menanam jagung. Perlu diingat
bahawa jangan guna pasu, kontena atau pot bersaiz di bawah 18 inci
kerana pertumbuhan pokok jagung tidak menarik. Guna nisbah media
penanaman 2:1:1 di mana dua bahagian tanah loam, satu bahagian
kompos/tinja binatang: satu bahagian pasir sungai jika perlu untuk satu
pasu.
SEMAIAN DAN MENANAM BENIH JAGUNG
Bagi
tanomkinotuan, benih jagung boleh ditanam terus pada tanah atau pasu.
Tidak perlu semai dan alihkan ke tempat baharu. Ini kerana apabila anak
pokok jagung dialihkan ia memperlambatkan pertumbuhannya dan menambah
kerja yang mudah kepada yang rumit. Selama tanomkinotuan menanam jagung
tidak pernah merendam benih jagung ke dalam air dan benih jagung masih
boleh bercambah selepas tiga hari tetapi jika anda melakukannya
tanomkinotuan tidak melarang. Tanam benih jagung 2 biji selubang pada
jarak antara lubang ialah 20 inci (40 cm) atau mengikut kesesuaian anda.
Jangan lupa timbus dan siram dengan air secukupnya.
Pada
pasu pula tanam dua biji jagung pada lubang yang dibuat ditengah-tengah
pasu dan apabila benih sudah tumbuh pilih anak pokok jagung yang tidak
sihat/terbantut dan cabut, tinggalkan hanya sepokok di dalam pasu dan
siram.
PEMBAJAAN DAN PENJAGAAN
Terdapat
dua cara pembajaan iaitu pembajaan secara organik dan pembajaan secara
komersil. Pembajaan secara organik dimulai pada minggu kedua selepas
anak pokok benih tumbuh (kira-kira dua hingga tiga daun), yakni setiap
selang dua minggu bubuh baja pada sekeliling pokok, kaedah ini digunakan
bagi mereka yang mahukan jagung tersebut tumbuh secara organik. Bagi
pembajaan secara komersil pula dimulai pada minggu pertama dengan NPK
blue special (12:12:17:2), minggu keempat ialah baja tinja binatang
bercampur dengan NPK blue dan baja garam (warna putih), minggu 7 ialah
baja garam dan sedikit baja subur (merah). Cara pembajaan di atas sesuai
digunakan dalam pasu cumanya guna sukatan 1 sudu setiap baja kimia dan
dua genggam bagi baja organik. Berhati-hati bila menggunakan baja
kimia/urea pada jagung, jangan terkena pada batang pokok ia akan
terbakar dan mati. Letak baja tersebut jauh pada batang pokok.
Buang
rumput pada batas, kerja ini adalah wajib bagi membolehkan pokok jagung
tidak bersaing untuk mendapatkan makanan. Jika boleh letakkan mulsa
(rumput kering, daun kering, kayu reput, cocopeat, jerami padi, lalang
kering pada batas atau pasu untuk kelembapan dan juga boleh mengurangkan
rumput di atas batas dan pasu. Berhati-hati ketika merumput jangan
mencederakan akar jagung. Siram pokok jagung dua kali sehari dan tidak
perlu ketika hujan.
Jagung
akan diserang makhluk perosak semasa anak pokok dan musim mulai
berbuah. Daun anak pokok akan dimakan oleh belalang, siput dan lintah
bulan. Buang siput dan lintah bulan jauh dari pokok jagung. Ulat
pengorak buah akan bertelur pada buah jagung menyebabkan jagung cacat
oleh itu sembur racun jika perlu (Kepada mereka yang tidak kesah). Namun
bagi pengamal makanan organik (bebas racun serangga dan baja kimia)
seimbangkan PH tanah dan baja, air dan kelembapan pada pokok jagung.
Jangan biarkan pokok jagung mendapat tekanan (stress). Sekiranya ini
berlaku pokok jagung (dan tumbuhan lain) mengeluarkan bahan kimia yang
boleh dihidu oleh makhluk perosak untuk datang kepadanya dan merosakkan
pokok jagung tersebut. Banyak kajian berhubung perkara ini dan sudah
dibuktikan dengan kajian sains. Jika masalah ini diatasi dengan baik,
jagung anda adalah bebas kimia dan organik sifatnya.
PENUAIAN HASIL JAGUNG
0 komentar:
Posting Komentar